Saturday, April 18, 2009

Sealiran tapi tak sejiwa:taman hiburan @ Muzium...pencarian satu pengalaman.

Saya sebenarnya berasa terharu dan berbangga kerana diberi peluang untuk berjumpa dengan Pengarah Muzium Negara, Encik Mohd Azmi Bin Mohd Yusof . Kehadiran saya telah disambut mesra oleh beliau. Beliau sempat menceritakan pengalaman beliau sebelum dan ketika menjadi Pengarah Muzium Negara. Disini saya berasa kagum dengan keazaman beliau dalam melakukan sesuatu perkara. Keyakinan dalam diri manusia perlu ada jika ingin melakukan sebarang perkara kerana jika kita yakin disertakan dengan usaha dan kecemerlangan sahsiah diri serta doa, impian dan matlamat hidup pasti akan tercapai.

Ulasan beliau dalam menguruskan Muzium Negara, beliau mendapati generasi muda-mudi sekarang ini kurang berminat dengan aspek budaya. Generasi muda lebih gemar berhibur dan kurang mengambil tahu sejarah bangsa. Jika tahu pun hanya diperingkat sekolah yakni belajar hanya untuk lulus subjek sejarah tetapi terus melupakannya. Mereka sebenarnya tidak melihat secara jelas sesuatu yang dikatakan artifak hanya dengan membaca dan melalui penerangan dari guru-guru mereka sahaja. Oleh itu, keinginan untuk mengetahui dengan lebih lanjut sesuatu perkara hanya akan berlalu begitu sahaja.

Tambah beliau, kesedaran ibu bapa sendiri masih kurang, yakni ibubapa lebih gemar membawa anak-anak mereka ke taman-taman hiburan yang lebih masyhur. Sebenarnya dalam hal ini seharusnyalah ibu bapa patut menjadi pengerak utama dalam memperkenalkan sejarah bangsa kerana jika anak-anak kecil tidak dilatih dan diajar dari sekarang untuk mengenal sejarah bangsa sesuatu yang kurang baik pasti akan berlaku kepada generasi akan datang. Beliau juga mengatakan kita sepatunya berasa malu kepada bangsa asing yang datang melawat Muzium pada setiap masa, sifat dan sikap ingin tahu bangsa asing ini patut di contohi oleh kita semua, kita seharusnya tahu Muzium adalah nadi atau pintu masuk negara yang pertama kepada bangsa asing. Oleh itu pelbagai tanggapan akan diberikan oleh bangsa tersebut terhadap rakyat di negara ini.

Pada akhirnya, beliau menasihati saya agar selalu mengunjungi muzium dan mengambil tahu aktiviti yang dianjurkan oleh pihak muzium. Beliau mengatakan “janganlah hanya kerana adanya penyelidikan yang perlu dibuat ini barulah kita sibuk melawat muzium, kunjungan ke muzium perlu dilakukan pada setiap masa ” dan beliau juga berharap agar saya sama-sama memikirkan cadangan dan memberikan kritikan yang membina bagi membangunkan muzium serta dapat menarik lebih ramai pengunjung pada masa depan.
Powered By Blogger